Wednesday, January 20, 2010

Wajahnya Berbulu

0 comments
Bagi manusia, bulu seringkali dikaitkan dengan persepsi kematangan. Dari hujung kepala sehinggalah ke hujung kaki, setiap inci seluruh badan dlitupi bulu iatu bulu roma dan lain lain lagi.
Namun bagi seorang kanak kanak India, bulunya menjadi perhatian ramai. Ini kerana, bulunya bukan sahaja tumbuh lebat di anggota kaki dan tangan seperti kebiasaannya tetapi tumbuh juga dengan begitu ekstrem di mukanya. Menurut ibu bapanya, bulu di mukanya memang tumbuh sejak lahir lagi, ianya semulajadi.
Baru baru ini, doktor doktor dari Amerika Syarikat dan seorang doktor tempatan India telah merawatnya untuk menghilangkan bulu tersebut menggunakan laser dan hasilnya memberangsangkan. Dengan itu, mereka menyifatkan kes yang berlaku kepada kanak kanak ini adalah satu kes yang baru dalam dunia genetik. Hipotesis awal telah dibuat menyatakan pertumbuhan bulu yang ekstrem di muka kanak kanak ini disebabkan oleh kecacatan struktur genetiknya (salah satu kromosomnya sendiri). Namun itu masih lagi hipotesis,kesimpulan yang tepat belum dibuat lagi kerana kajian masih lagi diusahakan. Apatah lagi hipotesis tersebut bercanggah dengan pendapat pakar genetik yang turut terlibat dalam kajian tersebut.
Sekiranya kajian terhadap sindrom ini berjaya, beribu ribu orang akan mendapat manfaatnya. Segala penyakit yang berkaitan dengan pertumbuhan bulu yang luarbiasa dapat diubati dengan mudah.

Monday, January 11, 2010

Penebusan Puaka Emily Rose

0 comments

Anneliese Michel hanyalah seorang perempuan biasa. Dilahirkan pada tahun 1952 dalam keadaan baik dan menjalani kehidupan normal di awal usianya. Perempuan berwarganegara Jerman ini akhirnya menggemparkan negara itu dengan kematian tragiknya pada umur 23 tahun. Kematiannya tidak berjalan dengan lancar kerana kematiannya diklasifikasikan sebagai kecuaian pembunuhan oleh paderi dan ahli keluarganya. Annaliese Michel ataupun lebih dikenali dengan nama Emily Rose adalah penganut agama Roman Katholic.
Kisahnya bermula ketika umurnya 16 tahun. Pakar Neurologi telah mengesahkan Emily menghidapi epilepsy (ketidakaturan system saraf dalam otak). Tidak lama kemudian, Emily mengalami halusinasi yang tidak terkawal ketika bersembahyang (Kristian). Bermula dari situ, dia mula mempamerkan kelakuan kelakuan yang aneh. Halusinasinya dan bisikan sesuatu di telinganya semakin kerap berlaku. Kelakuannya berubah secara abnormal, selalu merobek pakaiannnya sendiri, memakan arang di tempat pembakar api di dalam rumahnya, dan menjilat kembali air kencingnya.
Keluarganya mula bimbang. Mereka memasukkannya ke hospital psikiatri. Namun usaha mereka gagal. Mereka tahu sebenarnya ubat ubatan moden tidak mampu menyembuhkan penyakit Emily. Selepas itu, keluarganya menolak terus kaedah perubatan moden dan memilih menggunakan perubatan keagamaan yang dilakukan oleh paderi paderi di gereja. Penolakan keluarganya terhadap rawatan moden pada tahun 1975 disebabkan seorang perempuan tua yang menemani Emily beberapa hari membuat kesimpulan bahawasanya Emily Rose telah dirasuk syaitan. Ini kerana Emily menunjukkan kelakuan pelik ketika melintasi Palang Salib di Gereja.
Emily enggan untuk makan dan selalu membebel dalam keadaan tidak terkawal tentang kematian dan dosa. Pada 1 Julai 1976, Emily dijumpai mati ketika sedang tidur. Para doktor mengesahkan dia mati disebabkan kebuluran akibat malnutrisi(kurang makan) dan dehdyrasi(kurang air) sejak kali pertama dia mula dirasuk.
Fakta yang menarik tentang rasukan syaitan ke dalam jasad Emily Rose adalah bilangan “demon”nya. Dicatatkan enam jenis jin atau syaitan telah menguasai badan Emily sekaligus sejak kali pertama dia dirasuk ketika umurnya 16 tahun. Ini terbukti ketika ‘soal jawab’ paderi dengan ‘demon demon tersebut’ ketika upacara penebusan puaka di gereja.
Sebenarnya, Emily Rose dapat diselamatkan sekiranya beliau dirawat mengikut kaedah Islam iaitu dengan menggunakan Ayat Ayat Al Quran sebagai pendinding. Tetapi, disebabkan oleh anutan agamanya, mereka memilih untuk berubat di gereja. Dan kematiannya sebenarnya berpunca daripada rasukan dalam badannya yang sudah menjadi kuat, lalu menyebabkan dia mati dalam keadaan kebuluran. Tidak dapat dinafikan ada juga kes kes rasukan diubati di gereja berkesan, tetapi kebanyakannya daripadanya akan mengalami kesan sampingan seperti terencat akal dan fikiran menjadi lemah. Ibarat api berlawan dengan api sekiranya kes rasukan dirawat mengikut kaedah bukan Islam di mana menang dan kalah menjadi adat biasa.

Monday, November 2, 2009

2012

0 comments

Bulan November nanti pawagam Malaysia akan menayangkan filem yang menarik perhatian iaitu 2012. Iklannya begitu menarik dengan kecanggihan grafik yang dicipta oleh Columbia pictures.

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada filem ini ialah kiamat pada tafsiran barat. Apa yang silapnya dalam filem ini, di penghujung cerita (mengikut sinopsis dalam internet) ada manusia yang terselamat daripada peristiwa kiamat ini. Manusia terselamat di hari kiamat? Mustahil! Dan seperti biasalah Amerikalah yang dianggap penyelamat dunia dalam mengharungi hari kiamat.

Beralih kepada peristiwa kiamat yang kononnya berlaku pada 2012. Seluruh paderi paderi sedunia telah pun bersepakat sebelum ini bahawasanya kiamat akan berlaku pada 2012. Hujah mereka bersandarkan juga pada konsep archaeastronomy, mitologi dan numerologi pembinaan serta cabang cabang sains yang lain yang diramal para saintis.

Persoalan yang bermain di fikiran, apakah yang menyebabkan Barat meramalkan 2012 adalah hari kiamat? Bagi sudut pakar agama iaitu paderi paderi, mereka menjadikan Kalendar Maya (Mayan Calendar) sebagai rujukan. Ringkasnya, kalendar Maya ini adalah kalendar yang di gunakan pada zaman ketamadunan pra Columbia. Kalendar ini dianggap unik kerana boleh meramal beberapa peristiwa dengan tepat seperti penenggelaman Kota Atlantis dan beberapa siri peperangan yang berlaku. Namun tidak semuanya tepat. Apa yang pasti, Kalendar Maya telah menetapkan hari penghujung dunia akan berlaku pada tahun 2012.

Menurut sudut sains, para saintis barat dari agensi angkasa seperti NASA menjangkakan terdapat satu asteroid yang besar di angkasa lepas akan menghempas bumi pada tahun 2012. Mengapa 2012? Mereka meramalkannya mengikut kaedah cabang cabang matematik. Dan menurut sumber yang tidak pasti, satu planet yang baru dijumpai bernama planet X NIBIRU juga akan bergeser dengan bumi pada tahun yang sama. Sebenarnya ini hanyalah ramalan dari Nasa dan pihak pihak tertentu.

Dalam ajaran Islam berpandukan Al Quran dan As Sunnah, tidak terdapat pun ayat-ayat Al Quran atau pun Assunnah yang menyatakan secara jelas mengenai tarikh hari kiamat kerana ianya disembunyikan Allah S.W.T sebagaimana Allah menyembunyikan malam Lailatul Qadar pada bulan ramadhan. Hikmahnya, Allah ingin hambanya beribadah semaksimum mungkin kepadanya setiap masa bukan pada saat saat akhir. Cuma yang dinyatakan dalam Islam bahawasanya Hari Kiamat akan jatuh pada hari Jumaat sahaja. Tetapi tarikhnya tidak dapat diketahui makhluk Allah S.W.T. Hanya Allah yang Mengetahui. Tarikh yang diuar-uarkan para paderi seluruh dunia itu juga sebenarnya jatuh juga pada hari Jumaat, iaitu 21.12.2012. Tapi, tidak semestinya. Apatah lagi tanda tanda kiamat besar pun belum muncul lagi.

Mungkin filem 2012 ini tidak disekat Lembaga Penapisan Filem kerana ianya tidak berunsurkan agama yang keterlaluan secara jelas yang boleh memesongkan aqidah. Jadi apa yang diharapkan ummat Islam tidak mudah terpedaya dengan ramalan hari kiamat pada tahun 2012 kerana hak penentuan hari kiamat adalah hak mutlak Allah S.W.T. Mungkin hari kiamat jatuh pada minggu ini, siapa tahu? Allah Maha Kuasa dan Maha Mengetahui.

Tetapi, terdapat juga satu pendapat para saintis barat yang menyatakan 2012 bukan tahun kiamat tetapi berlaku perubahan besar besaran dari sudut sains dalam alam ini untuk memasuki era baru. Bumi akan memasuki zaman emas dari zaman besi iaitu sekarang. Benarkah begitu?? Hanya Allah Yang Mengetahui.

Sunday, October 25, 2009

Kahak

0 comments
SEBUAH ARTIKEL DARI LAMAN WEB RASMI HOSPITAL MACHANG, KELANTAN.




Berdehem dengan kuat bukan cara yang selamat untuk mengeluarkan kahak.
SERINGKALI sesetengah orang berdehem pada awal pagi untuk membuang lendir kahak yang seolah-olah melekat di dinding tekak mereka.

Berdehem serta batuk yang kuat itu pula kadangkala mengganggu orang lain terutama jika ia dilakukan di tempat awam.

Menyentuh mengenai lendir kahak, persepsi masyarakat yang mengaitkannya dengan resdung tidak dapat dielakkan walaupun kedua-duanya tiada kaitan.

“Tiada istilah tentang resdung dalam dunia perubatan. Malah kebanyakan individu mengaitkan resdung dengan cara yang salah,” ujar Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Aminuddin Saim.

Menurut beliau, tekak berkahak merupakan keadaan di mana belakang tekak membengkak dan ini membuatkan penghidapnya berasa tidak selesa.

“Tekak kadangkala hanya mengalami sedikit bengkak atau keradangan namun tiada lendir. Ketidakselesaan ini membuatkan otak mengatakan terdapatnya lendir.

“Oleh kerana otak menganggap ada lendir di situ, aktiviti berdehem atau batuk secara kuat dengan tujuan mengeluarkan lendir tersebut selalu menyebabkan tekak berdarah,” ujarnya sambil menunjukkan keratan rentas model anatomi bahagian tekak.



RONGGA hidung yang bermasalah boleh menjadi punca kepada pencetusan kahak ekstrem.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, menurut Aminuddin, secara amnya, penyakit berkaitan kahak terbahagi kepada dua jenis iaitu kahak berunsur alahan dan kahak disebabkan jangkitan kuman daripada sinus.

“Jerebu, habuk serta alahan menjadi penyebab kehadiran kahak yang lazim bagi penduduk di negara bercuaca panas seperti Malaysia.

“Justeru, kahak jenis ini akan timbul apabila seseorang itu terdedah secara langsung atau tidak kepada alahan ini dan pulih dalam masa yang singkat,” katanya. Bagi sinus akut, ia terjadi apabila terdapat bakteria pada lendir kahak dan jika dibiarkan akan menyebabkan kahak tersebut berbau. Warnanya juga berubah menjadi hijau atau kuning. Membuka rongga hidung

Namun, jelas Aminuddin, keadaan hidung pesakit yang abnormal turut menyumbang kepada berlakunya kahak ekstrem. “Terdapat individu yang mempunyai hidung sempit atau abnormaliti pada anatomi hidung dan sinus serta tekaknya. Justeru, kewujudan kahak adalah normal,” terang beliau.

Aminuddin menjelaskan, pengambilan antibiotik merupakan cara terbaik dalam merawat kahak daripada jenis sinus akut. Malah 70 peratus daripada pesakit yang menderita kahak ekstrem sembuh dengan pengambilan antiobitik secara teratur. “Pembedahan membuka rongga hidung yang mempunyai nanah selepas menjalani imbasan CT merupakan kaedah terakhir dalam merawat penyakit ini,” tegas Aminuddin.

Tambahnya, selain daripada pemberian antibiotik, pesakit juga boleh dirawat dengan menggunakan penyembur khas bagi membuka rongga hidung dan sinus.

Bagi kahak berkaitan alahan, Aminuddin berkata, tiada satu kaedah khusus bagi merawat kahak jenis ini. “Apa yang penting, pesakit perlu tahu masalah alahan mereka serta mengelakkan daripada terdedah kepada alahan tersebut. Tambahan sekarang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, mengelakkan diri daripada jerebu serta habuk amat penting,” katanya.

Dalam pada itu, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mendapat kahak ekstrem sekiranya mereka mempunyai sejarah penyakit asma, ekzema serta alahan.

“Namun, yang baiknya, kanak-kanak memberi tindak balas yang amat memberangsangkan terhadap antibiotik dan merupakan kaedah rawatan terbaik bagi mereka,” kata Aminuddin.

Thursday, October 22, 2009

Sebelum Jalan Berduri

0 comments


Putaran masa memang tak sempat ditahan. Sedar tak sedar, usia sudah meningkat tua. Pepatah arab pernah berkata ‘Masa ibarat pedang, jikalau kita tidak memotongnya, masa itu sendiri akan memotong kita’. Memang bila mengimbas kembali zaman keanak-anakan, ternyata bezanya bak langit dan bumi.

Manis rasanya bila bermain teng-teng, sorok-sorok, batu selambut dan congkak. Ada juga yang bermain ‘zeropoint’. Terdapat juga yang masih belum mengenal bola sepak. Menyepaknya apatah lagi. Itulah, variasi zaman di mana masih lagi terumbang ambing pemikirannya. Cuma keseronokan sahaja yang akal mampu fikirkan.

Kalau ditanya pada seorang manusia, zaman apakah yang ingin beliau kembali. Manusia tersebut tidak mungkin akan menyatakan ingin kembali ke zaman Paleolitik, Mesolitik, Logam ataupun seangkatan dengannya. Tetapi mungkin ada yang ingin ke zaman Nabi Muhammad. Tidak mengapa, kita hormat pendirian mereka. Berbalik kepada zaman yang manusia ingin kembali, kebanyakan manusia akan terus terfikirkan terus zaman kanak-kanak mereka.

Zaman kanak kanaklah yang banyak mengandungi intipati kehidupan. Jatuhnya badan segera diangkat, sakitnya kepala terus diurut, bila mengantuk dialunkan irama, bangunnya esok hari terus menghirup kopi. Tiada langsung masa untuk mereka mengerutkan dahi memikirkan tanggungjawab membayar duit rumah sewa, kewangan pembelajaran dan kehidupan seharian. Merekalah golongan yang dikategorikan berkecuali daripada segenap hal.
Tak dinafikan juga ada yang hidup dalam keadaan serba dhaif. Namun jauh di hati mereka, mereka tetap ingin menikmati suasana ynag dialami oleh kanak-kanak biasa.

Pramugari, Polis, bomba, Cikgu dan askar adalah pilihan pilihan cita cita bagi seorang kanak-kanak. Kadangkala setiap tahun berubah. Erti cita cita bagi kanak kanak adalah apa yang berada di hadapan mereka dan apa yang mereka fahami tentangnya. Kanak-kanak mudah terpedaya dengan persekitaran. Pada awalnya, semangat untuk menjadi askar begitu kuat, tetapi bila dipengaruhi dengan drama televisyen contohnya Awan Dania, secara tidak langsung cita cita mereka bertukar ingin menggenggam awan dengan menjadi pramugari. Betapa lemahnya pemikiran kanak kanak. Itulah sebabnya muncul peribahasa ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Mereka sebenarnya mudah dibentuk walaupun dalam gaya ‘lembut dalam tegas’. Mungkin juga munasabah didikan ‘lembut dalam keras’, tetapi tidak munasabah untuk mengaplikasikannya kepada golongan 12 tahun keatas kerana mereka akan membalas balik kepada si pendidik dengan kekerasan yang terdapat dalam kelembutan tersebut.

Kanak kanak zaman dahulu dan sekarang tidak banyak bezanya. Cuma yang berbeza adalah persekitaran sahaja. Sebelum zaman wujudnya permainan digital, kanak kanak sudah mampu tersenyum dengan nyanyian gurindam ibu mereka, balingan batu selambut dan pengiraan bilangan buah congkak. Mereka mudah beradaptasi dengan sosial pada masa yang sama. Berbanding sekarang, kanak kanak lebih cenderung dengan permainan digital, khususnya permainan komputer. Namun hakikatnya, kanak kanak masih lagi kanak kanak. Jiwa mereka masih lagi terisi dengan keseronokan. Peredaran masa sahaja yang perlu dititikberatkan. Mungkin dulu kaedah tarbiahnya berbeza.

Apa yang ingin disimpulkan, zaman kanak kanak adalah zaman istimewa. Setiap manusia pernah dan sedang mengharunginya. Pastikanlah kanak kanak zaman sekarang ini dapat mengalami keseronokan hidup yang terkawal. Mereka berhak untuk mendapat keseronokan dan jika keseronokan mereka dirampas, malanglah mereka. Memang penting juga untuk mengajar mereka erti pengurusan hidup tetapi tidaklah adil untuk mereka menanggung susah seperti orang dewasa menanggung susah. Lebih 200000 (angka UNICEF) kanak kanak Afrika berumur 8 tahun sudah pun menjadi buruh paksaan di Barat Afrika ekoran kemiskinan terlampau. Mendengar fakta ini, kita sudah tahu mereka sebenarnya tidak alami keseronokan zaman kanak kanak kerana mereka sudah pun memasuki jalan berduri yang sepatutnya ditempuhi golongan umur yang sesuai....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Paling Popular

 

BeritaKini Design by Insight © 2009