Thursday, January 20, 2011

"Saya peluk Islam sudah 5 tahun, baru sekarang saya faham apa itu Tauhid!"

Kata-kata ini agak pelik apabila didengari. Masakan sudah lima tahun memeluk Islam, ilmu Tauhid asas pun tidak boleh difahami. Hakikatnya, inilah yang berlaku kepada para muallaf di Malaysia. Ramai yang menyangka muallaf hanya menerima cabaran dari keluarga dan rakan-rakan lama setelah mereka memeluk Islam. Tetapi, usah terkejut, mereka turut menyatakan masyarakat Islam yang tulen di Malaysia turut memberi tekanan kepada mereka termasuklah golongan ustaz. Berikut kata-kata dan kritikan mereka kepada orang ramai dan cendekiawan agama masa ini untuk menguruskan kefahaman agama Islam dalam golongan muallaf.

"Ustaz-ustaz ramai yang tidak faham. Mereka suka menggunakan ayat-ayat berbunga dan Bahasa Arab dalam menyampaikan ilmu agama di masjid. Mereka syok sendiri. Sedangkan kami golongan muallaf yang baru masuk Islam masih lagi dalam keadaan terkapai-kapai untuk memahami Islam. Tolonglah guna bahasa yang mudah difahami. Di Malaysia, bahasa Melayu yang paling mudah,"

"Setelah saya peluk Islam, saya masih lagi tidak mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Bukan niat saya untuk ambil mudah dalam hukum hakam agama, tetapi saya menerima cabaran hebat dari keluarga saya yang bukan Islam. Orang Islam yang lain pula tidak memahami masalah saya mengapa saya berbuat begitu. Mereka asyik mengutuk saya tanpa soal selidik dulu. Malahan, mereka sanggup berkata lebih baik tidak payah masuk Islam kalau hukum hakam agama tidak mahu ikut sepenuhnya,"


"Saya sudah peluk Islam selama 15 tahun. Tetapi, ramai yang menggelar saya muallaf atau orang baru peluk Islam. Ini memberi satu tekanan kepada saya. Agak-agaknya, bila saya akan menjadi Muslim sebenar sedangkan saya sudah melakukan amalan agama sepenuh hati saya. Rasa seperti tidak dihargai"


"Masyarakat Islam suka menghukum. Tetapi, langsung tidak menyelidik sesuatu perkara itu dahulu. Kami golongan muallaf turut menerima nasib yang sama,"

Dan yang menariknya, seorang muallaf berbangsa Cina telah menterjemah kitab tauhid kepada bahasa Mandarin, kemudian dia memberikan kitab Tauhid versi Mandarin kepada kawannya yang juga seorang muallaf berbangsa Cina. Dan kawannya berkata,

"Saya peluk Islam sudah 5 tahun, baru sekarang saya faham apa itu Tauhid!"


Kesimpulannya:

1) Orang Islam anggap memakaikan jubah dan serban kepada muallaf sudah mencukupi. Hakikatnya kefahaman muallaf tentang Islam begitu sedikit.

2) Orang Islam di Malaysia syok sendiri apabila mampu menyampaikan ceramah atau nasihat agama dalam Bahasa Arab dan bahasa berbunga-bunga. Sedangkan golongan muallaf tidak memahaminya dengan jelas.

3) Majoriti orang Islam di Malaysia tidak tahu berdakwah secara beransur-ansur.

Oleh itu, bersama-sama memahami keadaan muallaf.

*Petikan kata-kata ahli panel di Forum Cabaran Saudara Baru Kita di Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan sempena Festival Kelestarian Islam 2011. Terdapat beberapa ayat yang ditulis di sini diolah sedikit tetapi maksudnya sama seperti mana yang disampaikan ketika forum.
Ahli Panel: 
1) Muhd Fitri Abdullah (agama asal: Hindu)
2) Lim Jooi Soon  (agama asal: Buddha dan Protestan)
3) Farah Syakirah (Kristian Katolik)

2 comments:

natriumnatrium said...

1.ya. apabila difikirkan seolah-olah muallaf merupakan suatu label dan bukannya saudara baru yang hakiki.

2.rasanya mentaliti sebahagian orang Melayu yang berfikiran jumud terhadap masalah ini buatkan macam lagi serabut. perlukan pencerahan ni!

3.jangan mudah syok sendiri, biar apa yang disampaikan sampai dalam hati! kena bagi faham dulu.

nasrullah ma'ana. insyaALLAH. tengs! nice post!

Naim Jr said...

ya, welcome. thank you for your opinions too. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Paling Popular

 

BeritaKini Design by Insight © 2009