Friday, July 31, 2009

Selesema..


KALAU ada orang mendakwa tidak pernah dapat selesema, dia memang hebat. Selesema yang disebabkan jangkitan virus pada sistem respiratori atas (saluran pernafasan) adalah masalah paling lazim di seluruh dunia. Secara purata orang dewasa mengalami empat kali serangan selesema setahun dan sehingga 12 kali bagi kanak-kanak.

Di negara tropika seperti Malaysia, insiden selesema lebih tinggi kalau musim berubah, contohnya pada musim hujan atau selepas cuti sekolah. Namun, waktu paling ketara ialah dari November ke Januari dan Mac hingga Ogos.

Kes selesema juga meningkat pada musim jerebu (yang berlaku hampir setiap tahun akibat kebakaran hutan di negara jiran) kerana ia melemahkan sistem pertahanan badan dan menyebabkan kita mudah terdedah kepada jangkitan virus.


Virus punca selesema


Antara punca utama selesema ialah jangkitan rhinovirus. Namun, virus lain seperti coronavirus dan virus human parainfluenza. Sebenarnya ada lebih 200 jenis virus yang dikenal pasti boleh menyebabkan selesema dan kebanyakannya ada di keliling kita.

Oleh kerana terlalu banyak jenis virus boleh mengakibatkan selesema dan kemunculan jenis virus baru, badan kita tidak dapat membina pertahanan terhadap jangkitan. Ini sebabnya selesema menjadi penyakit paling lazim dan kerap berulang. Malah, virus ini boleh menjangkiti orang lain sebelum badan mangsa pertama sempat membunuhnya.

Dalam kebanyakan kes, jangkitan selesema berlaku dari satu individu ke individu lain iaitu apabila individu sihat bernafas dalam persekitaran dicemari virus selesema yang terbang ke udara melalui batuk atau bersin.

Malah, rhinovirus boleh merebak jika seseorang itu menyentuh mulut atau hidungnya selepas menyentuh permukaan tercemar. Bersin adalah kaedah penyebaran paling berbahaya kerana apabila bersin, kita mengeluarkan banyak virus sekali gus.

Kumpulan virus yang terkandung dalam percikan air liur ini tidak kelihatan, akan terapung-apung di udara dan mengambil masa lama sehingga beberapa jam sebelum jatuh ke tanah atau lantai. Ini sebabnya kita disaran menutup mulut dan hidung dengan tisu setiap kali bersin atau batuk.

Virus ini memasuki saluran pernafasan dan menyerang sel dalam nasofarinks (bahagian antara hidung dan tekak). Apabila memasuki sel, virus ini membahagi dengan cepat untuk menghasilkan lebih banyak virus baru.

Rhinovirus ada tempoh inkubasi (waktu antara jangkitan dan mula menunjukkan gejala serangan) yang pendek iaitu antara satu hingga tiga hari. Namun, waktu virus paling mudah berjangkit ialah sehari sebelum seseorang itu mengalami gejala selesema dan berlanjutan selama lima hari. Ini bermakna sebelum kita tahu seseorang itu selesema, dia sudah boleh menjangkiti orang lain.

Virus paling mudah berjangkit dalam persekitaran yang padat dan ramai orang. Ini sebabnya kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian sangat mudah mendapat selesema dan mereka juga menjadi pembawa virus paling berkesan kepada ahli keluarga lain.

Selesema jarang menyebabkan sakit kepala dan demam. Jika ia berlaku, itu tandanya anda diserang virus influenza yang lebih berbahaya. Gejala biasanya lebih teruk pada bayi dan kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan demam. Biasanya gejala selesema berlanjutan antara lima hingga tujuh hari, tetapi batuk mungkin berterusan sehingga 14 hari.

Rawatan

Sehingga kini tiada rawatan khusus untuk selesema. Rawatan yang ada hanya untuk mereda atau melegakan gejala penyakit. Jangan minta antibiotik daripada doktor anda kerana antibiotik adalah untuk jangkitan bakteria.

Ada yang percaya, dengan meningkatkan sistem imun badan, kita boleh mengelak jangkitan virus selesema. Antara kaedah digunakan ialah mengambil produk herba seperti Thujae occidentalis (daun cedar putih), Radix Baptisiae tinctoriae (akar indigo liar) dan dua ektrak Echinacea iaitu Radix Echinaceae purpureae (akar coneflower ungu) dan Radix Echinaceae pallidae.

Thujae dan Baptisiae menjadi perangsang sistem imun, manakala Echinacae pula mempunyai sifat antivirus. Kombinasi unik ini membantu meningkatkan sistem imun badan dan menentang jangkitan virus.

Herba ini datang dalam bentuk pil, diakui sebagai perubatan fito yang boleh menentang selesema dan dibuktikan melalui lebih 20 ujian klinikal. Lebih penting, ia selamat diambil semua peringkat umur, termasuk bayi dan kanak-kanak, serta tiada kesan sampingan.

Formulasi ini boleh diambil sehingga dua bulan, tetapi biasanya pengambilan untuk dua atau tiga hari berjaya menghentikan serangan virus selesema jika diambil sebaik gejala pertama selesema muncul.

Bagaimanapun, untuk kes selesema berulang, terutama di kalangan kanak-kanak, disaran mengambil herba ini selama dua hingga tiga minggu.

Namun, perlu berhati-hati kerana kanak-kanak memerlukan dos tepat dan lebih rendah berbanding orang dewasa. Justeru, lebih baik jika berbincang dengan doktor terlebih dulu sebelum mengambilnya supaya anak anda mendapat manfaat terbaik.

Antara kaedah lain untuk melegakan selesema ialah pengambilan ubat tahan sakit seperti parasetamol dan aspirin, semburan hidung (fenileprin) bagi melegakan hidung tersumbat, ubat batuk dan antihistamin.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Paling Popular

 

BeritaKini Design by Insight © 2009