Buku Terpilih BeritaKini 2015

Terkini

_________________________________________________________________

Thursday, October 22, 2009

Sebelum Jalan Berduri



Putaran masa memang tak sempat ditahan. Sedar tak sedar, usia sudah meningkat tua. Pepatah arab pernah berkata ‘Masa ibarat pedang, jikalau kita tidak memotongnya, masa itu sendiri akan memotong kita’. Memang bila mengimbas kembali zaman keanak-anakan, ternyata bezanya bak langit dan bumi.

Manis rasanya bila bermain teng-teng, sorok-sorok, batu selambut dan congkak. Ada juga yang bermain ‘zeropoint’. Terdapat juga yang masih belum mengenal bola sepak. Menyepaknya apatah lagi. Itulah, variasi zaman di mana masih lagi terumbang ambing pemikirannya. Cuma keseronokan sahaja yang akal mampu fikirkan.

Kalau ditanya pada seorang manusia, zaman apakah yang ingin beliau kembali. Manusia tersebut tidak mungkin akan menyatakan ingin kembali ke zaman Paleolitik, Mesolitik, Logam ataupun seangkatan dengannya. Tetapi mungkin ada yang ingin ke zaman Nabi Muhammad. Tidak mengapa, kita hormat pendirian mereka. Berbalik kepada zaman yang manusia ingin kembali, kebanyakan manusia akan terus terfikirkan terus zaman kanak-kanak mereka.

Zaman kanak kanaklah yang banyak mengandungi intipati kehidupan. Jatuhnya badan segera diangkat, sakitnya kepala terus diurut, bila mengantuk dialunkan irama, bangunnya esok hari terus menghirup kopi. Tiada langsung masa untuk mereka mengerutkan dahi memikirkan tanggungjawab membayar duit rumah sewa, kewangan pembelajaran dan kehidupan seharian. Merekalah golongan yang dikategorikan berkecuali daripada segenap hal.
Tak dinafikan juga ada yang hidup dalam keadaan serba dhaif. Namun jauh di hati mereka, mereka tetap ingin menikmati suasana ynag dialami oleh kanak-kanak biasa.

Pramugari, Polis, bomba, Cikgu dan askar adalah pilihan pilihan cita cita bagi seorang kanak-kanak. Kadangkala setiap tahun berubah. Erti cita cita bagi kanak kanak adalah apa yang berada di hadapan mereka dan apa yang mereka fahami tentangnya. Kanak-kanak mudah terpedaya dengan persekitaran. Pada awalnya, semangat untuk menjadi askar begitu kuat, tetapi bila dipengaruhi dengan drama televisyen contohnya Awan Dania, secara tidak langsung cita cita mereka bertukar ingin menggenggam awan dengan menjadi pramugari. Betapa lemahnya pemikiran kanak kanak. Itulah sebabnya muncul peribahasa ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Mereka sebenarnya mudah dibentuk walaupun dalam gaya ‘lembut dalam tegas’. Mungkin juga munasabah didikan ‘lembut dalam keras’, tetapi tidak munasabah untuk mengaplikasikannya kepada golongan 12 tahun keatas kerana mereka akan membalas balik kepada si pendidik dengan kekerasan yang terdapat dalam kelembutan tersebut.

Kanak kanak zaman dahulu dan sekarang tidak banyak bezanya. Cuma yang berbeza adalah persekitaran sahaja. Sebelum zaman wujudnya permainan digital, kanak kanak sudah mampu tersenyum dengan nyanyian gurindam ibu mereka, balingan batu selambut dan pengiraan bilangan buah congkak. Mereka mudah beradaptasi dengan sosial pada masa yang sama. Berbanding sekarang, kanak kanak lebih cenderung dengan permainan digital, khususnya permainan komputer. Namun hakikatnya, kanak kanak masih lagi kanak kanak. Jiwa mereka masih lagi terisi dengan keseronokan. Peredaran masa sahaja yang perlu dititikberatkan. Mungkin dulu kaedah tarbiahnya berbeza.

Apa yang ingin disimpulkan, zaman kanak kanak adalah zaman istimewa. Setiap manusia pernah dan sedang mengharunginya. Pastikanlah kanak kanak zaman sekarang ini dapat mengalami keseronokan hidup yang terkawal. Mereka berhak untuk mendapat keseronokan dan jika keseronokan mereka dirampas, malanglah mereka. Memang penting juga untuk mengajar mereka erti pengurusan hidup tetapi tidaklah adil untuk mereka menanggung susah seperti orang dewasa menanggung susah. Lebih 200000 (angka UNICEF) kanak kanak Afrika berumur 8 tahun sudah pun menjadi buruh paksaan di Barat Afrika ekoran kemiskinan terlampau. Mendengar fakta ini, kita sudah tahu mereka sebenarnya tidak alami keseronokan zaman kanak kanak kerana mereka sudah pun memasuki jalan berduri yang sepatutnya ditempuhi golongan umur yang sesuai....

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Artikel Paling Popular

 

BeritaKini Design by Insight © 2009