Buku Terpilih BeritaKini 2015

Terkini

_________________________________________________________________

Sunday, October 25, 2009

Kahak

0 comments
SEBUAH ARTIKEL DARI LAMAN WEB RASMI HOSPITAL MACHANG, KELANTAN.




Berdehem dengan kuat bukan cara yang selamat untuk mengeluarkan kahak.
SERINGKALI sesetengah orang berdehem pada awal pagi untuk membuang lendir kahak yang seolah-olah melekat di dinding tekak mereka.

Berdehem serta batuk yang kuat itu pula kadangkala mengganggu orang lain terutama jika ia dilakukan di tempat awam.

Menyentuh mengenai lendir kahak, persepsi masyarakat yang mengaitkannya dengan resdung tidak dapat dielakkan walaupun kedua-duanya tiada kaitan.

“Tiada istilah tentang resdung dalam dunia perubatan. Malah kebanyakan individu mengaitkan resdung dengan cara yang salah,” ujar Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Aminuddin Saim.

Menurut beliau, tekak berkahak merupakan keadaan di mana belakang tekak membengkak dan ini membuatkan penghidapnya berasa tidak selesa.

“Tekak kadangkala hanya mengalami sedikit bengkak atau keradangan namun tiada lendir. Ketidakselesaan ini membuatkan otak mengatakan terdapatnya lendir.

“Oleh kerana otak menganggap ada lendir di situ, aktiviti berdehem atau batuk secara kuat dengan tujuan mengeluarkan lendir tersebut selalu menyebabkan tekak berdarah,” ujarnya sambil menunjukkan keratan rentas model anatomi bahagian tekak.



RONGGA hidung yang bermasalah boleh menjadi punca kepada pencetusan kahak ekstrem.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, menurut Aminuddin, secara amnya, penyakit berkaitan kahak terbahagi kepada dua jenis iaitu kahak berunsur alahan dan kahak disebabkan jangkitan kuman daripada sinus.

“Jerebu, habuk serta alahan menjadi penyebab kehadiran kahak yang lazim bagi penduduk di negara bercuaca panas seperti Malaysia.

“Justeru, kahak jenis ini akan timbul apabila seseorang itu terdedah secara langsung atau tidak kepada alahan ini dan pulih dalam masa yang singkat,” katanya. Bagi sinus akut, ia terjadi apabila terdapat bakteria pada lendir kahak dan jika dibiarkan akan menyebabkan kahak tersebut berbau. Warnanya juga berubah menjadi hijau atau kuning. Membuka rongga hidung

Namun, jelas Aminuddin, keadaan hidung pesakit yang abnormal turut menyumbang kepada berlakunya kahak ekstrem. “Terdapat individu yang mempunyai hidung sempit atau abnormaliti pada anatomi hidung dan sinus serta tekaknya. Justeru, kewujudan kahak adalah normal,” terang beliau.

Aminuddin menjelaskan, pengambilan antibiotik merupakan cara terbaik dalam merawat kahak daripada jenis sinus akut. Malah 70 peratus daripada pesakit yang menderita kahak ekstrem sembuh dengan pengambilan antiobitik secara teratur. “Pembedahan membuka rongga hidung yang mempunyai nanah selepas menjalani imbasan CT merupakan kaedah terakhir dalam merawat penyakit ini,” tegas Aminuddin.

Tambahnya, selain daripada pemberian antibiotik, pesakit juga boleh dirawat dengan menggunakan penyembur khas bagi membuka rongga hidung dan sinus.

Bagi kahak berkaitan alahan, Aminuddin berkata, tiada satu kaedah khusus bagi merawat kahak jenis ini. “Apa yang penting, pesakit perlu tahu masalah alahan mereka serta mengelakkan daripada terdedah kepada alahan tersebut. Tambahan sekarang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, mengelakkan diri daripada jerebu serta habuk amat penting,” katanya.

Dalam pada itu, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mendapat kahak ekstrem sekiranya mereka mempunyai sejarah penyakit asma, ekzema serta alahan.

“Namun, yang baiknya, kanak-kanak memberi tindak balas yang amat memberangsangkan terhadap antibiotik dan merupakan kaedah rawatan terbaik bagi mereka,” kata Aminuddin.

Thursday, October 22, 2009

Sebelum Jalan Berduri

0 comments


Putaran masa memang tak sempat ditahan. Sedar tak sedar, usia sudah meningkat tua. Pepatah arab pernah berkata ‘Masa ibarat pedang, jikalau kita tidak memotongnya, masa itu sendiri akan memotong kita’. Memang bila mengimbas kembali zaman keanak-anakan, ternyata bezanya bak langit dan bumi.

Manis rasanya bila bermain teng-teng, sorok-sorok, batu selambut dan congkak. Ada juga yang bermain ‘zeropoint’. Terdapat juga yang masih belum mengenal bola sepak. Menyepaknya apatah lagi. Itulah, variasi zaman di mana masih lagi terumbang ambing pemikirannya. Cuma keseronokan sahaja yang akal mampu fikirkan.

Kalau ditanya pada seorang manusia, zaman apakah yang ingin beliau kembali. Manusia tersebut tidak mungkin akan menyatakan ingin kembali ke zaman Paleolitik, Mesolitik, Logam ataupun seangkatan dengannya. Tetapi mungkin ada yang ingin ke zaman Nabi Muhammad. Tidak mengapa, kita hormat pendirian mereka. Berbalik kepada zaman yang manusia ingin kembali, kebanyakan manusia akan terus terfikirkan terus zaman kanak-kanak mereka.

Zaman kanak kanaklah yang banyak mengandungi intipati kehidupan. Jatuhnya badan segera diangkat, sakitnya kepala terus diurut, bila mengantuk dialunkan irama, bangunnya esok hari terus menghirup kopi. Tiada langsung masa untuk mereka mengerutkan dahi memikirkan tanggungjawab membayar duit rumah sewa, kewangan pembelajaran dan kehidupan seharian. Merekalah golongan yang dikategorikan berkecuali daripada segenap hal.
Tak dinafikan juga ada yang hidup dalam keadaan serba dhaif. Namun jauh di hati mereka, mereka tetap ingin menikmati suasana ynag dialami oleh kanak-kanak biasa.

Pramugari, Polis, bomba, Cikgu dan askar adalah pilihan pilihan cita cita bagi seorang kanak-kanak. Kadangkala setiap tahun berubah. Erti cita cita bagi kanak kanak adalah apa yang berada di hadapan mereka dan apa yang mereka fahami tentangnya. Kanak-kanak mudah terpedaya dengan persekitaran. Pada awalnya, semangat untuk menjadi askar begitu kuat, tetapi bila dipengaruhi dengan drama televisyen contohnya Awan Dania, secara tidak langsung cita cita mereka bertukar ingin menggenggam awan dengan menjadi pramugari. Betapa lemahnya pemikiran kanak kanak. Itulah sebabnya muncul peribahasa ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Mereka sebenarnya mudah dibentuk walaupun dalam gaya ‘lembut dalam tegas’. Mungkin juga munasabah didikan ‘lembut dalam keras’, tetapi tidak munasabah untuk mengaplikasikannya kepada golongan 12 tahun keatas kerana mereka akan membalas balik kepada si pendidik dengan kekerasan yang terdapat dalam kelembutan tersebut.

Kanak kanak zaman dahulu dan sekarang tidak banyak bezanya. Cuma yang berbeza adalah persekitaran sahaja. Sebelum zaman wujudnya permainan digital, kanak kanak sudah mampu tersenyum dengan nyanyian gurindam ibu mereka, balingan batu selambut dan pengiraan bilangan buah congkak. Mereka mudah beradaptasi dengan sosial pada masa yang sama. Berbanding sekarang, kanak kanak lebih cenderung dengan permainan digital, khususnya permainan komputer. Namun hakikatnya, kanak kanak masih lagi kanak kanak. Jiwa mereka masih lagi terisi dengan keseronokan. Peredaran masa sahaja yang perlu dititikberatkan. Mungkin dulu kaedah tarbiahnya berbeza.

Apa yang ingin disimpulkan, zaman kanak kanak adalah zaman istimewa. Setiap manusia pernah dan sedang mengharunginya. Pastikanlah kanak kanak zaman sekarang ini dapat mengalami keseronokan hidup yang terkawal. Mereka berhak untuk mendapat keseronokan dan jika keseronokan mereka dirampas, malanglah mereka. Memang penting juga untuk mengajar mereka erti pengurusan hidup tetapi tidaklah adil untuk mereka menanggung susah seperti orang dewasa menanggung susah. Lebih 200000 (angka UNICEF) kanak kanak Afrika berumur 8 tahun sudah pun menjadi buruh paksaan di Barat Afrika ekoran kemiskinan terlampau. Mendengar fakta ini, kita sudah tahu mereka sebenarnya tidak alami keseronokan zaman kanak kanak kerana mereka sudah pun memasuki jalan berduri yang sepatutnya ditempuhi golongan umur yang sesuai....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Artikel Paling Popular

 

BeritaKini Design by Insight © 2009